PKPD: Perkhidmatan feri Kuala Kedah ke Langkawi ditutup dua minggu
Adie Sufian Zulkefli
September 5, 2021 11:30 MYT
September 5, 2021 11:30 MYT
ALOR SETAR: Perkhidmatan feri Kuala Kedah ke Langkawi ditutup selama dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah yang bermula Isnin.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata, penutupan terminal feri Kuala Kedah berkuatkuasa 6 September hingga 19 September ini.
Beliau berkata, penumpang yang berurusan keluar masuk Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri yang dibuka dengan satu trip perjalanan di Kuala Perlis.
"Jadual perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis pada jam 11 pagi manakala dari Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 1 petang.
"Kekerapan perjalanan feri akan ditambah sekiranya mendapat permintaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharin berkata, jumlah kapasiti penumpang pada satu-satu masa hanya 50 peratus dibenarkan dari jumlah keseluruhan tempat duduk dalam feri.
Beliau berkata, kepada penumpang yang sudah membeli tiket bagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah- angkawi dibenarkan untuk membuat tuntutan bayaran semula melalui email seperti mana tercatat pada pas masuk bagi pembelian dalam talian.
"Selain itu, mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik di kuanter bagi pembelian kuanter atau menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis," katanya.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, lokaliti baharu ini membabitkan negeri Sabah dan Kedah, bermula 6 September sehingga 19 September.
Lokaliti di Sabah ialah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, manakala di Kedah adalah dua zon dalam mukim Kuala Kedah, Kota Setar.