PKPD Penjara Tapah, Kampung Meruntum di Putatan berakhir esok - Ismail Sabri

Fareez Azman
April 25, 2021 12:12 MYT
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan menamatkan dua PKPD itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Tapah, Perak bermula esok.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat selepas penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Perak yang dijadualkan tamat esok, 26 April 2021.
"Sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 3,572 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya, 921 kes positif COVID-19 direkodkan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambah Ismail Sabri, penurunan kes dicatatkan dengan kluster terkawal serta tiada lagi sampel ujian menunggu keputusan.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Tapah, Perak pada 26 April 2021, seperti yang dijadualkan," katanya lagi.
Dalam pada itu, kerajaan jelas Ismail turut bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Meruntum, Putatan, Sabah bermula esok susulan penurunan kes dicatatkan di lokaliti itu.
"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 127 ujian saringan dan 22 daripadanya positif COVID-19.
"KKM juga memaklumkan, berlaku penurunan kes manakala semua kes positif serta kontak rapat juga telah diasingkan," katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #kerajaan #KKM #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKPD #Majlis Keselamatan Negara #ujian saringan #keselamatan #penjara #kesihatan #kes positif #PKP