PKPD: Penjara Bentong dan Taiping dilanjutkan, Penjara Jelebu ditamat

Madiha Abdullah
Februari 7, 2021 18:24 MYT
Ismail Sabri berkata ini adalah susulan kes positif yang masih meningkat di dua lokasi terbabit. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di dua penjara, Penjara Bentong dan Penjara Taiping serta kuarters kakitangan masing-masing, akan dilanjutkan sehingga 22 Februari.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah susulan kes positif yang masih meningkat di dua lokasi terbabit.
"Di Penjara Bentong, sebanyak 767 kes positif COVID-19 telah direkodkan dengan 13 kes positif terakhir telah dilaporkan pada 5 Februari 2021.
"Manakala di Penjara Taiping, sebanyak 112 kes positif COVID-19 direkodkan manakala 40 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta terdapat tahanan yang masih bergejala.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD selama 14 hari lagi bermula 9 sehingga 22 Februari 2021," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, PKPD di Penjara Jelebu, Negeri Sembilan ditamatkan hari ini, mengikut jadual.
"Kerajaan sebelum ini telah melanjutkan PKPD di Blok Transit (Blok Muhasabah) Penjara Jelebu, Negeri Sembilan dan dijadualkan tamat pada 7 Februari 2021.
"KKM mengesahkan kesemua 49 kes positif yang ditempatkan di Blok Transit (Blok Muhasabah) telah sembuh sepenuhnya dan didiscaj serta 69 orang tahanan juga telah tamat tempoh HSO," ujarnya.
#ismail sabri yaakob #perintah kawalan pergerakan diperketat #PKPD #PKP #kes positif #COVID-19 #Taiping #Negeri Sembilan #Jelebu #Bentong
;