PKPD Penjara Alor Setar dilanjutkan selama dua minggu - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
Oktober 18, 2020 17:15 MYT
Pelaksanaan PKPD di penjara itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Penjara Alor Setar dilanjutkan dua minggu lagi, bermula esok sehingga 1 November.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di kawasan tersebut.
"Selain itu, PKPD ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.
"Setakat 17 Oktober, terdapat 1,178 kes positif COVID-19 melibatkan 1,137 tahanan dan 41 kakitangan penjara telah direkodkan," katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 661 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), meningkat sekali ganda berbanding semalam dan Jumaat.
Daripada jumlah itu, seramai 632 individu dikompaun dan 27 orang direman.
"Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup separuh muka iaitu seramai 223 orang, gagal menjaga penjarakan fizikal (191) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (112)," tambahnya.
Kata Ismail kerajaan turut memberi tumpuan terhadap kawalan keselamatan di sempadan Sarawak di bawah Ops Benteng merangkumi kawasan daratan dan perairan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Bagaimanapun, kawalan oleh anggota keselamatan sahaja tidak memadai tanpa peranan daripada masyarakat setempat untuk turut sama-sama membantu bagi memastikan negara kita selamat," katanya.
#Ismail Sabri Yaacob #perintah kawalan pergerakan diperketat #PKPD #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #kes positif #PDRM #Penjara Alor Setar
;