PKPD: Peniaga kongsi rezeki dengan pelanggan
Abd Razak Mohd Ali
Jun 15, 2021 17:27 MYT
Jun 15, 2021 17:27 MYT
MUALLIM: Prihatin dengan nasib pelanggannya yang terkesan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), seorang pemborong barangan runcit di Slim River, dekat sini berkongsi rezeki bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.
P. Krishna Rao, menyumbangkan barangan keperluan asas kepada 821 buah keluarga yang menjalani PKPD di Felda Trolak Utara, di samping 27 lagi keluarga di Felda Besout 5.
Roa berkata, sumbangan itu juga adalah sebagai menghargai penduduk setempat yang menjadi pelanggan kedainya.
“Kejayaan saya hari ini adalah hasil sokongan penduduk setempat, jadi sebagai menghargai sokongan mereka selama ini, khususnya yang sedang mengalami kesukaran sekarang, saya tampil untuk membantu meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui hari ini.
Kotak barangan keperluan asas kepada penduduk Felda Trolak Utara diserahkan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz untuk diagihkan.
Bagi penduduk Felda Besout 5 pula, sumbangan itu diserahkan melalui pihak Felda.
Roa berkata, sumbangan tidaklah besar jika hendak dibandingkan dengan sokongan penduduk kepada perniagaan beliau selama ini.
Bagaimanapun, katanya, banyak atau sedikit sumbangan yang dihulurkan itu bukanlah menjadi ukuran kerana yang penting keikhlasan untuk membantu tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
"Hidup akan menjadi lebih bermakna jika hasil keuntungan dikongsi dengan orang yang memerlukan.
"Kita tidak akan rugi apa-apa, malah saya yakin dengan apa yang saya lakukan ini bakal memberi impak positif pada masa hadapan," ujarnya.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di beberapa lokaliti termasuk di FELDA Trolak Utara, yang sepatutnya tamat hari ini akan dilanjutkan sehingga 29 Jun.
#PKPD
#peniaga
#Kongsi rezeki
#COVID-19
#pandemik
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#barangan runcit
#Slim River
#Felda
#P Krishna Rao