PKPD: Pekerja sektor perkilangan, pembuatan di Selangor wajib disaring dua kali seminggu - Azmin

Astro Awani
Julai 12, 2021 11:30 MYT
Semua pekerja sektor perkilangan dan pembuatan diwajibkan menjalani ujian swab RTK dua kali seminggu bermula 7 Julai lalu. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua pekerja sektor perkilangan dan pembuatan diwajibkan menjalani ujian swab RTK dua kali seminggu bermula 7 Julai lalu.
Menurut Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ia bagi memperketatkan lagi syarat kebenaran pengoperasian kilang di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor.
Tambahnya, langkah ini dilihat mampu untuk mengenal pasti kes jangkitan COVID-19 dengan lebih awal dan memastikan hanya pekerja yang disahkan negatif dibenarkan untuk ke tempat kerja.
Menurutnya majikan perlu menanggung sepenuhnya kos saringan tersebut.
Azmin dalam masa yang sama menyeru semua majikan agar tidak mengambil kesempatan di atas peluang yang telah diberikan oleh pihak kementerian.
Jelasnya, tindakan majikan yang ambil kesempatan amat dikesali kerana ramai yang tidak patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) serta memandang ringan tentang perkara ini.
Menurutnya lagi dalam kemas kini di akaun Facebook miliknya, langkah penjagaan SOP yang ketat perlu seiring dengan tindakan secara praktikal bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dari terus merebak terutama di tempat kerja.
Sumber Facebook MohamedAzminAli
#COVID-19 #ujian saringan #Pekerja #kilang #pembuatan #Azmin Ali #MITI #SOP #majikan #ujian swab #Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri #PKPD #perintah kawalan pergerakan #jangkitan
;