PKPD Pasar Jalan Othman tamat esok - Ismail Sabri

Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2020 15:51 MYT
Ismail Sabri menasihatkan penduduk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya pada musim perayaan nanti. - Foto BERNAMA
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya yang bermula sejak 11 hari lalu akan ditamatkan esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lokasi itu merupakan kawasan dikenakan PKPD terakhir yang ditamatkan perintah.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat beberapa kawasan lain yang dikenakan PKPD secara pentadbiran buat masa ini.
“PKPD yang dikuatkuasakan di kawasan Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya akan tamat esok iaitu 22 Mei,” katanya pada sidang media harian di sini pada Khamis.
Mengikut rekod, sejak 10 Mei lepas, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan saringan kesihatan ke atas 2,532 penduduk di sekitar kawasan Pasar Jalan Othman.
Daripada jumlah itu, 848 adalah warga asing.
Saringan itu mengesan seorang warga tempatan yang positif COVID-19 manakala 13 lagi masih dalam proses menunggu.
Ismail berkata, penduduk dinasihatkan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya pada musim perayaan nanti.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #keselamatan #KKM #koronavirus #operasi #Petaling Jaya #SOP #warga asing
;