PKPD Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah ditamatkan

Astro Awani
November 11, 2020 19:47 MYT
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua lokasi itu bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020 sebelum dilanjutkan ke 27 Oktober sehingga 9 November 2020. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati tiada lagi kes baharu positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini.
"Sehingga 10 November 2020, KKM mendapati kesemua keputusan 5,189 sampel saringan kedua
telah diperolehi dengan kesemuanya adalah negatif," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua lokasi itu bermula 13 Oktober 2020 sehingga 26 Oktober 2020 sebelum dilanjutkan ke 27 Oktober sehingga 9 November 2020.
Kemudian, pada 9 November 2020, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di kedua-dua kawasan ini sehingga 23 November 2020.
"Pelanjutan ini dibuat atas nasihat dan penilaian KKM kerana masih menunggu keputusan sampel saringan yang belum diperolehi ketika itu," tambahnya lagi.
Dalam pada itu, kerajaan turut mengumumkan penamatan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara
Reman Pulau Pinang hari ini.
"Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman, daerah Timur Laut, Pulau Pinang bermula 15 Oktober 2020 sehingga 28 Oktober 2020 yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 11 November 2020.
"KKM telah melaksanakan sebanyak 1,178 saringan dan 189 kes positif COVID-19 direkodkan di kawasan penjara ini. Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes COVID-19 di penjara ini menunjukkan trend penurunan dan terkawal di mana kes terakhir positif adalah pada 5 November 2020," ujar beliau.
#PKPD #tamat #Sabah #COVID-19 #Pangsapuri Mutiara Kasih #Taman Khazanah Indah #Lahad Datu #pandemik #KKM #kesihatan #ujian saringan
;