PKPD: Menara City One sunyi sepi, penduduk ibarat terpisah dari dunia luar
Isabelle Leong
April 17, 2020 11:37 MYT
April 17, 2020 11:37 MYT
Walaupun terdapat 5,200 penduduk yang mendiami 502 unit kondominium, suasana sunyi sepi menyelubungi Menara City One di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 31 Mac lalu.
Keadaan di kawasan itu kini jauh berbeza dengan sebelumnya yang dikatakan sentiasa 'meriah' dengan penduduk termasuk warga asing yang kerap keluar dan masuk ke kawasan itu terutama pada waktu pagi serta petang.
"Suasana sunyi, kami juga sunyi di sini. Walaupun ada ramai penduduk, semua tidak membuat bising dan tinggal sahaja di dalam rumah.
"Kehadiran berpuluh-puluh petugas kesihatan yang sesekali masuk membuat pemeriksaan juga tidak mengubah suasana itu," kata warga tempatan, Nawas Ali Md Shariff, 44, yang sudah menghuni Menara City One sejak 2002.
Biarpun sunyi, katanya, penduduk bersyukur masih menerima bantuan makanan secara percuma.
“Selepas tempat tinggal saya dikenakan PKPD, ia sungguh sunyi. Tetapi ada juga perkara yang seronok iaitu dapat makanan percuma,” katanya kepada Astro AWANI.
Walaupun ketika ini penduduk berasa terpisah dari dunia luar, namun Nawas Ali berharap agar PKPD tersebut dilanjutkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.
“Kami difahamkan, ada banyak kes COVID-19 di sini. Jadi saya rasa, kalau boleh, wajar juga perintah PKPD ini dilanjutkan lagi sehingga keadaan benar-benar pulih,” tambahnya.
Untuk rekod, arahan PKPD yang dijangka tamat 28 April ini melibatkan 3,200 penghuni di 502 kondominium dan premis perniagaan di menara berkenaan.
#bantuan makanan
#COVID-19
#Kementerian Kesihatan Malaysia
#KKM
#luahan
#Menara City One
#Penduduk
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#PKPD
#seronok
#sunyi
#wabak