PKPD Medan 88, Salak Tinggi: MKN arah polis kesan, tangkap 400 penduduk

Isabelle Leong
November 12, 2020 17:57 MYT
Kerajaan melaksanakan PKPD di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang mulai Khamis (12 November). - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan polis untuk mengesan dan menangkap 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang yang hilang selepas kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis (12 November).
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis juga diarahkan untuk menahan majikan yang bersubahat menyembunyikan pekerja daripada menjalani ujian saringan COVID-19.
Katanya, arahan untuk mengesan dan menahan itu pernah dilakukan ketika PKPD dilaksanakan di Selangor Mansion.
"Kali ini saya difahamkan lebih mudah (untuk mengesan) kerana majikan bersubahat dengan pekerja dan membawa bas untuk membawa mereka keluar.
“Lebih mudah kepada PDRM kerana boleh mengesan melalui majikan.
“Kita sudah putuskan tindakan, bukan sahaja boleh diambil kepada pekerja yang melarikan diri malah majikan yang bersubahat kerana mereka menyusahkan penguatkuasa dan membahayakan nyawa orang lain," katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid memaklumkan lebih 400 penduduk di dalam kawasan PKPD Medan 88 gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan.
#PKPD Medan 88 #Salak Tinggi #Sepang #PDRM #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Pertahanan #Mohamad Zain A Hamid #Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang
;