PKPD Medan 88, Salak Tinggi: 400 penduduk gagal dikesan

Fareez Azman
November 12, 2020 02:46 MYT
Mohamad Zain bersama Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof melawat kawasan Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang dipasang kawad duri berikutan pelaksanaan PKPD dikenakan bermula tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
SEPANG: Lebih 400 penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid pada satu sidang media hari ini.
Menjelaskan apa yang berlaku, beliau mengambil contoh pengalaman melaksanakan PKPD Hentian di Kajang sebelum ini.
"Apabila kepungan dibuat pada tengah malam, bermula jam 1 pagi, ada (penduduk) yang balik kerja lebih awal dan lambat. Penduduk yang balik awal, mereka akan disaring.
"Tetapi ada penduduk yang di depan mata kita, keluar begitu saja.
"Jadi, apabila PKPD Medan 88 ini kita laksanakan, penduduk dapat tahu awal, perkara sama berulang.
"Akibatnya, walaupun kita sasarkan sekitar 700 hingga 800 penduduk, yang tidak dapat dikesan seramai 400 orang," katanya.
BACA: PKPD di Medan 88 Salak Tinggi, Sepang bermula esok - Ismail Sabri
BACA: COVID-19: PM tinjau pusat ujian saringan di Bandar Baru Salak Tinggi
Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk terbabit menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang bagi menjalani ujian saringan COVID-19.
Mohamad Zain berkata, kerjasama daripada penduduk yang enggan pulang amat diharapkan demi keselamatan masyarakat.
Tambahnya, PKPD dilaksanakan supaya setiap penduduk dapat disaring, bukan sahaja untuk mengawal keselamatan semata mata.
#Pejabat Kesihatan Daerah Sepang #Sepang #pejabat kesihatan #COVID-19 #ujian saringan #PKPD #Salak Tinggi #Penduduk #Gagal Dikesan #hilang #Medan 88 #Bandar Baru Salak Tinggi #Mohamad Zain A Hamid