PKPD Kuala Kedah: SOP lebih ketat - Polis
Adie Sufian Zulkefli
September 5, 2021 05:27 MYT
September 5, 2021 05:27 MYT
ALOR SETAR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) Kuala Kedah dilaksanakan lebih ketat ekoran jumlah jangkitan tinggi berlaku di lokaliti ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya akan melakukan kawalan lebih kerap menerusi jalan darat dan laut sepanjang tempoh dua minggu tersebut.
Bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19, sebarang aktiviti keluar masuk tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD adalah berbeza dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang dilaksanakan di Kedah ketika ini.
"SOP yang akan dikeluarkan ini adalah SOP yang sangat ketat. Kita boleh bandingkan dengan SOP PPN Fasa 1 yang berlangsung sekarang.
"Kerana, kita tahu, kadar jangkitan COVID-19 di kawasan Kuala Kedah ini sangat tinggi," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan perumahan dan pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kuala Kedah, tengah malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, individu yang mempunyai janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera sahaja dibenarkan keluar dari kawasan PKPD.
Begitu juga, mereka yang mempunyai kes kecemasan, iaitu bagi tujuan menerima rawatan di hospital, dibenarkan keluar, namun dengan kebenaran polis.
"Bagi mereka yang menerima vaksin secara walk-in, ini kita tidak dapat benarkan dalam tempoh PKPD ini sebab tidak ada dokumen yang boleh dibuktikan oleh mereka," katanya.
Sementara itu, aktiviti nelayan menangkap ikan di laut dibenarkan namun tidak bagi mereka yang memakai gelang pengawasan merah jambu.
Katanya, pengawasan di laut akan dikendalikan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ahmad Shukri berkata, kawalan di SJR melibatkan seramai 56 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut terlibat, seramai 42 orang anggota yang ditugaskan untuk pemeriksaan mengejut (snap check) di laluan tikus.
Pada masa sama, dua SJR tetap didirikan di Jalan Kuala Kedah dan Kubang Rotan.
Sepanjang PKPD, tambahnya, lapan jalan ditutup sepenuhnya membabitkan Jalan Kampung Baru, Jalan Kampung Layang Utara, persimpangan Jalan Kampung Padang, Jalan Kota Marina, Jalan Kampung Tepi Laut, Jalan Taman Bahtera, Lorong Mayat dan Jalan Kubang Rotan.
Sabtu lalu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad mengumumkan, dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar dikenakan PKPD bermula pada 6 September hingga 19 September.