PKPD Kilang YTY, asrama pekerja bermula esok, Sekolah Henry Gurney Telok Mas dilanjut

Umavathi Ramayah
Mac 18, 2021 19:20 MYT
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti. - Gambar fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di kilang YTY dan asrama pekerjanya di Lekir, Setiawan, Perak, berkuat kuasa esok.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di lokaliti itu adalah berikutan peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang tinggi.
"Daripada 162 ujian saringan yang dilakukan sehingga 14 Mac lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 60 daripadanya disahkan positif COVID-19.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di kilang YTY dan asrama pekerja bermula 19 Mac 2021 hingga 1 April depan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar terhadap semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Sementara itu, katanya PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 2 April ini berikutan peningkatan kes masih berlaku.
Sehingga kini, katanya, KKM telah melaksanakan 602 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 27 kes positif COVID-19 direkodkan.
"KKM mengesahkan masih berlaku peningkatan kes dalam kalangan penghuni sekolah terbabit dan terdapat baki 171 sampel ujian saringan sedang menunggu keputusan," jelasnya.
Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP serta atas nasihat KKM.
#PKPD #COVID-19 #kilang YTY #PKP dilanjutkan #ismail sabri yaakob #Kementerian Pertahanan #Kementerian Kesihatan #Majlis Keselamatan Negara #Sekolah Henry Gurney
;