PKPD: Keadaan di PPR Mutiara Kasih, Taman Khazanah Indah terkawal
Qaisara Umaiyah, Zulhafiiz Brahim
November 9, 2020 21:35 MYT
November 9, 2020 21:35 MYT
LAHAD DATU: Akibat tidak berpuas hati dengan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), penduduk di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah telah mengadakan perhimpunan di laluan utama di dua lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor ketika dihubungi berkata, sebab utama sebilangan penghuni di dua lokaliti PKPD itu bertindak demikian ialah kerana mereka masih belum memperoleh keputusan ujian saringan COVID-19.
"Jawatankuasa Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) daerah ke negeri telah bersetuju agar PKPD ditamatkan namun keputusan PKOB Pusat masih mahu melanjutkan PKPD kerana mendapati sebilangan penduduk di kawasan itu masih belum memperoleh keputusan ujian saringan COVID-19.
"Setelah berjumpa dan menjelaskan kepada mereka akhirnya mereka bersurai dengan aman.
"Mereka hanya inginkan penjelasan dan bimbang akan diberhentikan kerja akibat PKPD selain terdapat juga penduduk yang berniaga," katanya.
Jelas Nasri, pekerja yang ingin keluar bekerja (essential services) perlu mengemukakan dokumen lengkap dan mendapat pengesahan dari majikan.
"Bagi keadaan sekarang, cukup sekadar pesanan ringkas (SMS) daripada majikan yang memanggil mereka bekerja dan pesanan itu ditunjukkan kepada petugas di laluan keluar masuk utama," katanya lagi.
Ketika ditanya sekiranya berlaku kekerasan, jelas Nasri, tiada sebarang kekerasan berlaku dan semuanya dalam keadaan terkawal.
#PKPD
#lanjutan
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
#Pangsapuri Mutiara Kasih
#Taman Khazanah Indah
#Ketua Polis Daerah Lahad Datu
#Nasri Mansor