PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah, Serian, Sarawak akan ditamatkan esok seperti dijadualkan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal, serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Tambahnya lagi, KKM telah melaksanakan 462 ujian saringan, dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 27 kes telah direkodkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Serumah pada 20 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 3,252 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 22 orang didapati positif COVID-19.

Secara kumulatifnya, kata beliau lagi, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 634,082 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 32,809 majikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,935 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 624,147 lagi adalah negatif.

“Sehingga kini, sebanyak 1,534 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti yang telah diumumkan, ujian saringan COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari 2021,” katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melakukan 28 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara dan 27 tapak binaan didapati mematuhi SOP manakala satu lagi diarahkan tutup serta-merta.