PKPD hari pertama: SOP berbeza di Kuala Lumpur, Selangor
Bernama
Julai 3, 2021 22:42 MYT
Julai 3, 2021 22:42 MYT
KUALA LUMPUR: Barangkali penduduk di Lembah Klang hari ini membayangkan mereka akan 'dikawal' kawat berduri, sebaik kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari hingga 16 Julai, seperti berlaku di sesuatu kawasan sebelum ini.
Namun tinjauan Bernama mendapati, terdapat perbezaan prosedur operasi standard (SOP) antara mukim yang dikenakan PKPD, di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim ketika diminta mengulas perbezaan SOP antara dua negeri itu berkata, PKPD di Kuala Lumpur adalah bersandarkan kepada lokaliti berbanding mengikut mukim di Selangor.
"Di Selangor tiada pemasangan kawat besi, namun tumpuan diberikan dengan mempertingkatkan jumlah sekatan jalan raya (SJR), manakala di Kuala Lumpur jumlah SJR dikekalkan, tetapi lokaliti terbabit dipasang kawat berduri.
"Setakat ini, kita ada 17 sekatan jalan raya, tetapi kita ada elemen-elemen lain yang akan terus beroperasi seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di PKPD Taman Bukit Angkasa di sini hari ini.
Azmi berkata, sehingga kini terdapat 19 kawasan yang dikenakan PKPD di Kuala Lumpur melibatkan lima lokaliti di Lembah Pantai, lapan lokaliti di Wangsa Maju, Cheras (dua), Sentul (empat), dengan kira-kira 800 anggota polis ditugaskan secara bergilir-gilir, mengawal kawasan-kawasan itu.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota hari ini mendapati, terdapat beberapa lokaliti yang dikenakan PKPD tidak dipasang kawat duri seperti prosedur sebelum ini, antaranya empat blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, namun blok itu dikawal rapi dan diletakkan pita garisan polis.
Wakil rumah rumah yang dibenarkan keluar bermula 10 pagi hingga 2 petang juga, perlu melaporkan diri di pondok polis sementara di setiap blok, berhampiran pintu keluar bangunan.
Minggu lalu Majlis Keselamatan Negara memutuskan, melaksanakan PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim di lapan daerah iaitu daerah Petaling; Hulu Langat; Sepang; Gombak; Kuala Langat; Klang; Kuala Selangor dan Hulu Selangor.
Semalam media melaporkan penguatkuasaan di kawasan PKPD sekitar Kuala Lumpur akan menggunakan pemasangan kawat duri dan penghadang jalan, berbeza dengan penugasan kawalan PKPD di Selangor, yang akan menumpukan penugasan SJR.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya akan menggunakan 80 peratus kekuatan daripada hampir 14,000 anggota dan pengawainya, bagi operasi pematuhan SOP di kawasan mukim PKPD untuk memastikan tiada individu yang merentas kawasan.
Katanya, 120 hingga 140 sekatan jalan raya yang dijalankan, polis akan memperbanyakkan sekatan jalan raya secara bergerak atau 'snap check'.
Sementara itu, ada antara penduduk melahirkan kekeliruan berkenaan SOP pelaksanaan PKPD tersebut antaranya pekerja penghantar makanan Mohd Zabidi Mohd Zaid, 32, yang keliru tentang kebenaran untuk keluar bekerja.
"Saya masih samar-samar berkenaan apa yang boleh dan apa yang tidak dibenarkan, misalnya hari ini saya diberitahu tidak dibenarkan bekerja, dan hanya dibenarkan keluar untuk hal kecemasan melibatkan kesihatan," katanya.
#PKPD
#Lembah Klang
#Kuala Lumpur
#Selangor
#sop berbeza
#kekeliruan
#perbezaan
#polis
#hari pertama
#kawat duri