PKPD: Dua lokaliti baharu, satu dilanjutkan

Astro Awani
September 4, 2021 12:52 MYT
Lokaliti baharu ini membabitkan negeri Sabah dan Kedah, bermula 6 September sehingga 19 September. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti sementara satu lagi lokaliti dilanjutkan dan 22 lokaliti ditamatkan.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, lokaliti baharu ini membabitkan negeri Sabah dan Kedah, bermula 6 September sehingga 19 September.
Lokaliti di Sabah ialah Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, manakala di Kedah adalah dua zon dalam mukim Kuala Kedah, Kota Setar.
Lokaliti yang dilanjutkan PKPD sehingga 19 September pula ialah Penjara Tapah di Perak.
Sementara itu, PKPD di beberapa lokaliti di Sabah dan Kelantan ditamatkan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Lokaliti tersebut ialah Kampung Padas, Kampung Cenderamata 2, Kampung Cempaka, Kampung Inanam Laut, Kampung Bambangan, Kampung Kelingau, Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal, Kota Kinabalu.
Turut ditamatkan lebih awal ialah Kampung Telaga Bata, Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan.
Lokaliti lain yang ditamatkan PKPD mengikit jadual ialah Pelantar Sungai Pinang Kecil, Pula Pangkor Perak, Kampung Telemin, Kuala Lipis Pahang, Kampung Orang Asli SUngai Bot, Bentong, Pahang dan Penjara Pokok Sena (termasuk kuarters), Kota Setar, Kedah.
Lokaliti lain yang ditamatkan ialah Taman Semarak Indah, Taman Thien Vun, Taman Victoria, Taman King Fook dan Kampung Kurnia Batu 4 di Tawau, Kampung Sulit Paitan dan Kampung Matanggal Lama di Beluran serta Kampung Tanjung Kapor, Kudat.
#Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #Majlis Keselamatan Negara #Kedah #Kota Kinabalu #Sabah