PKPD dikuatkuasakan di Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu

Astro Awani
Februari 26, 2021 02:28 MYT
SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan di Skim Penempatan Semula Sentosa, Fasa 2 di Sibu.
Menurut kenyataan JPBB Sibu, pelaksanaan PKPD yang melibatkan sempadan Jalan Sentosa, Jalan Sentosa Timur dan Lorong Sentosa Utara 7 itu bermula 27 Februari hingga 12 Mac.
"Keputusan melaksanakan PKPD adalah selepas membuat penilaian peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan itu.
"JPBB Sibu dengan kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan pelaksanaan PKPD selama 14 hari," kata kenyataan itu.
Terdahulu, kawasan rumah pangsa dan perumahan Town Villa di Sibu Jaya, Sibu dilaksanakan PKPD bermula 12 Februari sehingga 25 Februari 2021.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selepas pihaknya bimbang akan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut.
Semalam JPBN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, 219 kes positif COVID-19 dicatatkan menjadikan jumlah kes di negeri itu kepada 8,869.
Malah, Sibu terus menyumbang angka tertinggi dengan 80 kes diikuti Kapit (26), Bintulu (25), Kuching (18), Meradong (17), Miri (12), Samarahan (11), Serian (10), Selangau (lapan), Sri Aman (lima), Saratok (tiga) manakala satu kes di Kanowit, Sarikei,, Bukit Mabong dan Betong.
#PKPD di Sibu #Sibu #Skim Penempatan Semula Sentosa #Sentosa #COVID-19 #kes tinggi #JPBB Sibu