PKPD di tiga kawasan di Johor tamat hari ini
Hasimi Muhamad
Januari 14, 2021 18:05 MYT
Januari 14, 2021 18:05 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang, Johor diisytiharkan tamat pada hari ini.
Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk menamatkan PKPD di Dewan Arena Segitiga di Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, kawasan-kawasan tersebut masih tertakluk kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 23 Januari ini.
"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 2,171 ujian saringan dan daripada jumlah itu hanya 164 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"Bagaimanapun, KKM memaklumkann semua orang kena tahan (OKT) yang positif telah sembuh serta discaj PKRC dan semua kontak rapat telah tamat kuarantin 10 hari," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PKPD di dua lagi kawasan di Johor akan dilanjutkan dari 16 sehingga 29 Januari.
Ia masing-masing melibatkan kawasan di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar dan di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,828 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,417 kes positif COVID-19 telah direkodkan (di Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir).
“KKM turut mengesahkan kadar (pesakit dikesan positif) di lokaliti ini sangat tinggi dan masih terdapat 1,104 baki kes aktif yang ditempatkan di PKRC yang terletak dalam kawasan PKPD.
“Sementara itu, KKM telah melaksanakan 1,979 ujian saringan di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, Senai, dan daripada jumlah itu sebanyak 672 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM turut mengesahkan baki kes aktif di lokaliti ini masih lagi tinggi dan terdapat 50 baki sampel saringan yang menunggu keputusan,” katanya.
#perintah kawalan pergerakan
#Kementerian Kesihatan
#kes positif
#PKP
#COVID-19
#Kota Tinggi
#ismail sabri yaakob
#PKPD
#Penjara Kluang
#Taman Desa Sejahtera