PKPD di Taman Rimba, Mentakab, Temerloh bermula Isnin
Astro Awani
Februari 6, 2022 23:13 MYT
Februari 6, 2022 23:13 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari ke atas Taman Rimba, Mentakab, Temerloh, Pahang.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, ia akan berkuat kuasa 7 hingga 20 Februari ini.
Pelaksanaan PKPD itu dibuat setelah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi lokasi PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.
Dalam pada itu, PKPD di Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah, Rompin, Pahang yang bermula 25 Januari lalu, ditamatkan mengikut jadual iaitu 7 Februari.