PKPD di Sungai Duan diperluas, Empangan Baleh juga terlibat

Madiha Abdullah
April 26, 2021 11:12 MYT
Kata Ismail Sabri, ini adalah susulan 17 kes positif baharu telah direkodkan di rumah panjang lain yang terletak berhampiran. - Bernama
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan buah Rumah Panjang Sungai Duan, Bahagian Mukah, Sarawak yang sepatutnya tamat pada 6 Mei, diperluaskan ke beberapa kawasan lagi.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini adalah susulan 17 kes positif baharu telah direkodkan di rumah panjang lain yang terletak berhampiran dengan kawasan PKPD Sungai Duan.
"Kawasan yang terlibat ialah Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu, Rumah Panjang Rimong, Rumah Panjang Undun, Rumah Panjang Lindan dan SK Sungai Duan.
"PKPD ini akan bermula 27 April hingga 6 Mei 2021," katanya menerusi kenyataan media harian, pada Isnin.
Sementara itu, PKPD juga akan dilaksanakan di di kawasan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit berkuat kuasa 27 April sehingga 26 Mei 2021.
Ini adalah susulan 243 kes positif COVID-19 yang direkodkan dengan jumlah ini naik mendadak dalam tempoh seminggu hasil saringan dilakukan ke atas pekerja empangan tersebut.
"KKM mengesahkan masih terdapat risiko kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan pembinaan Empangan Baleh kerana masih ramai pekerja yang belum disaring," ujar Ismail Sabri.
#ismail sabri yaakob #PKPD #perintah kawalan pergerakan #kes positif #COVID-19 #Empangan Hidroelektrik Baleh #Rumah panjang