PKPD di SM Sains Banting bermula esok - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
April 23, 2021 18:59 MYT
Setakat ini, seramai 71 orang pelajar sekolah itu disahkan positif COVID-19. - Gambar/Facebook
KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok sehingga 7 Mei 2021.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan 473 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 71 orang pelajar disahkan positif COVID-19.
"Penularan kes masih berlaku di lokaliti tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di sekolah itu," katanya dalam sidang media khas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.
Sementara itu, PKP dan PKPD di tiga lokaliti dan satu daerah di Sabah serta Sarawak dilanjutkan sehingga 8 Mei.
Ini membabitkan PKPD di Politeknik Mukah; PKPD di Rumah Panjang Jalan Bukut Balingan, Mukah; PKPD di Kampung Muhibbah Raya, Tawau; dan PKP di Daerah Lahad Datu.
#COVID-19 #SM Sains Banting #sekolah #pelajar #Kementerian Kesihatan #PKPD #perintah kawalan pergerakan diperketat #PKP #perintah kawalan pergerakan #ujian saringan
;