PKPD di satu lokaliti di Pahang bermula 17 September

Astro Awani
September 15, 2021 14:32 MYT
PKPD di Kampung Dumpiring Bawah di Ranau, Sabah yang sepatutnya tamat pada 16 September dilanjutkan sehingga 30 September nanti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Paya Mengkuang, Sanggang, Temerloh di Pahang selama dua minggu bermula 17 hingga 30 September ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi lokaliti terbabit adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.
Beliau juga mengumumkan PKPD di Kampung Dumpiring Bawah di Ranau, Sabah yang sepatutnya tamat pada 16 September dilanjutkan bermula 17 hingga 30 September nanti.
Rodzi turut memaklumkan penamatan PKPD di enam lokaliti melibatkan Kompleks Penjara Bentong termasuk Kuarters di Bentong Pahang.
"Selain itu tiga lokaliti di Sabah membabitkan Perumahan Pekerja Ladang Mayvin 2 di Telupid, Kampung Tagaroh di Kota Marudu, Kilang dan Kuarters Kilang Papan Cargo Timber, Kampung Biah di Keningau juga ditamatkan PKPD.
"Manakala dua lagi lokaliti yang ditamatkan PKPD melibatkan Kuarters Pekerja Sri Datai Mining Sdn Bhd, Mukah di Sarawak dan Kampung Orang Asli Simpang Arang, Johor Bahru di Johor," katanya dalam satu kenyataan media harian pada Rabu.
Semua enam lokaliti ini akan ditamatkan PKPD 16 September seperti yang dijadualkan.
#PKPD #MKN #Pahang #paya mengkuang