PKPD di Pusat Koreksional Jasin, kuarters kakitangan ditamatkan - Ismail Sabri
Astro Awani
Januari 4, 2021 17:46 MYT
Januari 4, 2021 17:46 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Koreksional Jasin dan kuarters kakitangannya yang bermula 22 Disember lepas ditamatkan hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan medianya berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah selesai melaksanakan 737 ujian saringan dan secara kumulatif sebanyak 281 kes positif COVID-19 direkodkan.
Jelasnya, KKM mengesahkan pelaporan harian kes aktif di pusat tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan.
Dalam pada itu jelasnya, PKPD di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah pula bermula akan bermula pada 5 Januari sehingga 18 Januari 2021.
Ujarnya, PKPD itu bagi memudahkan tindakan kawalan dan pencegahan lapangan dijalankan serta bagi menyekat penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti setempat.
"Sidang Khas hari ini mendengar pembentangan KKM mengenai peningkatan kes postif
COVID-19 di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Sabah.
"Sehingga 31 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 207 saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 24 kes positif telah direkodkan," jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 466 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP pada Ahad.
Daripada jumlah itu, 463 telah dikenakan kompaun manakala dua direman dan satu dijamin.
Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (187), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (110), tidak memakai pelitup muka (90), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (62) dan lain-lain (17).
Katanya lagi, Operasi Benteng pula telah berjaya menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas enam buah kenderaan darat.
Tambahnya, sebanyak 109 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan.
Sementara itu tegasnya, sebanyak 19 operasi sanitasi meliputi tujuh zon merah, dua zon jingga, lima zon kuning dan satu zon hijau yang melibatkan lima buah negeri iaitu Sabah (enam operasi), Terengganu (empat operasi), Johor (tiga operasi), Pulau Pinang (tiga operasi) dan Sarawak (tiga operasi).
Katanya lagi, seramai 7,673 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah
dihantar ke hospital untuk rawatan.
Seramai 89,545 individu pula telah dibenarkan pulang.