PKPD di Penempatan Telipok, Kampung Numbak bermula Isnin

Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 15, 2020 15:13 MYT
Keputusan tersebut dibuat atas nasihat serta penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Penempatan Telipok dan Kampung Numbak bermula tengah malam ini sehingga 29 November.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan tersebut dibuat atas nasihat serta penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Atas nasihat serta penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, mesyuarat bersetuju melaksanakan PKPD di Penempatan Telipok dan Kampung Numbak, Kota Kinabalu berkuat kuasa 16 November 2020 (jam 12.00 tengah malam) sehingga 29 November 2020.
"Prosedur operasi standard (SOP) PKPD ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu kedai runcit dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga jam 6.00 petang, pasar dibenarkan beroperasi selama dua kali seminggu bermula 6.00 pagi sehingga 2.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Jelasnya, seorang wakil daripada setiap keluarga dibenarkan untuk keluar daripada kawasan PKPD untuk mengeluarkan duit daripada mesin ATM/bank dengan kebenaran oleh pihak PDRM yang membuat kawalan di jalan keluar masuk utama di kedua-dua lokaliti tersebut.
Pada 9 November lalu, dua kluster telah dilaporkan iaitu Kluster Numbak di Kota Kinabalu dengan lapan kes dan Kluster Nahaba di Kota Belud, dengan 25 kes.
Kluster Numbak mula dikesan melalui saringan pesakit sebelum kemasukan ke hospital dan saringan kontak terdekat telah menemui jangkitan positif di kalangan ahli keluarga dan saringan kontak terdekat masih dijalankan.
Bagaimanapun, tiada arahan pelaksanaan PKPD bagi Kluster Nahaba di Kota Belud yang dikesan berpunca dari jangkitan yang berlaku semasa upacara pengkebumian.
Pada Ahad, Sabah merekodkan penurunan 10 kes dari 391 kes kepada 381 kes dengan tiga kematian.
"Hari ini tiga kes kematian dicatatkan iaitu dua di Daerah Sandakan dan satu di Semporna.
"Takziah kepada semua keluarga yang terlibat," katanya lagi.
BACA: COVID-19: KKM kenal pasti tiga kluster baharu
Tambahnya, terdapat dua kluster baharu direkodkan pada Ahad iaitu Kluster Plaza di daerah Kota Kinabalu sebanyak 12 kes berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan dan Kluster Jalan Kalabakan di daerah Tawau sebanyak 22 kes juga berkaitan dengan pekerja tapak pembinaan.
#COVID-19 #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD #Penempatan Telipok #Kampung Numbak #Masidi Manjun #Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan #Kluster Plaza #Kluster Jalan Kalabakan