PKPD di lapan lokaliti libatkan Sabah dan Kelantan mulai 13 Julai

Umavathi Ramayah
Julai 11, 2021 19:47 MYT
ISMAIL SABRI: SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh lokaliti di Sabah dan satu di Kelantan mulai 13 sehingga 26 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Jempangah dan Kampung Rancangan Klias di Beaufort; Kampung Tebongon di Putatan; Borneo Timber di Tongod serta Jalan Pasir, Likas, Kampung Kuala Menggatal dan Kuarters Tangki Air Biru, Telipok di Kota Kinabalu.
Manakala di Kelantan pula, PKPD tersebut melibatkan Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa di Pasir Puteh.
“SOP bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.
Kerajaan turut mengambil keputusan untuk melanjutkan PKPD di Penjara Kepayan, Kota Kinabalu dan Kampung Nahaba, Kota Belud di Sabah untuk tempoh dua minggu lagi.
Sementara itu, PKPD di enam lokaliti termasuk dua daripadanya di daerah Petaling ditamatkan pelaksanaannya.
Dua lokaliti di Petaling yang ditamatkan PKPD adalah Pangsapuri Westlite-PKNS Petaling Jaya dan Apartment Mentari Court, PJS 8, Bandar Sunway.
Menurutnya, PKPD di kedua-dua lokaliti itu ditamatkan pada Isnin, lebih awal daripada yang dijadualkan.
Selain itu, PKPD di Tringkap, Cameron Highlands, Pahang turut ditamatkan seperti yang dijadualkan.
Turut ditamatkan ialah tiga lokaliti di Sabah iaitu Kampung Penimbawan, Tuaran, Kampung Linau, Kota Belud dan kilang Sawit Bell (termasuk perumahan kilang), Kinabatangan sementara satu lokaliti di Sarawak.
#PKPD #Petaling #Bandar Sunway #Kementerian Pertahanan #ismail sabri yaakob #Timbalan Perdana Menteri
;