PKPD di Kampung Orang Asli Kuala Boh di Pahang mulai Khamis - MKN
Bernama
September 28, 2021 19:59 MYT
September 28, 2021 19:59 MYT
KUALA LUMPUR: Kampung Orang Asli Kuala Boh, Pos Mensom di Mukim Ulu Telim, Cameron Highlands, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Khamis ini hingga 13 Okt depan.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan berkaitan penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di lokaliti terbabit.
Beliau juga berkata PKPD di Kampung Tementong, Mukim Cheka 1, Lipis, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 13 Okt.
Katanya selain itu, PKPD di lapan lokaliti di Sabah, Kelantan dan Pahang akan ditamatkan esok mengikut jadual.
PKPD di Sabah melibatkan lima lokaliti iaitu Kota Marudu meliputi Kampung Kirangawan (Darat dan Tengah) serta Kampung Pinatau, Kampung Nuntunan Apin-Apin di Keningau, Kampung Lungkidau di Ranau dan Perumahan Pekerja Ladang Boustead Ruku-Ruku di Telupid.
Di Kelantan pula melibatkan Kampung Bahagia, Mukim Batu Mengkebang di Kuala Krai manakala dua lokaliti di Pahang ialah Kampung Badong Dalam dan Kampung Permatang Durian di Mukim Bebar, Pekan.
-- BERNAMA