PKPD di Kampung Lingkudau, Keningau bermula esok

Harits Asyraf Hasnan
Mac 14, 2021 10:36 MYT
KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lingkudau, Keningau, Sabah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu akan mula dikuatkuasa esok (15 Mac) sehingga 28 Mac ini.
"Sehingga 12 Mac 2021, KKM telah melaksanakan 102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif telah direkodkan.
"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," memetik kenyataan yang dikeluarkan beliau hari ini.
Jelasnya, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memudahkan pihak Kementerian Kesihatan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan PKPD lebih awal melibatkan Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan, Pahang iaitu pada hari ini (14 Mac).
PKPD itu yang sepatutnya tamat 19 Mac depan, ditamatkan lebih awal selepas keputusan sampel kedua untuk 76 kontak rapat adalah negatif selain tiada lagi sampel menunggu keputusan.
#ismail sabri yaakob #KKM #PKPD #Kampung Lingkudau #Kuarters Sri Jelutung #Keningau #Pekan