PKPD di dua lokasi di Pulau Pinang dan Sabah

Astro Awani
Oktober 21, 2020 19:14 MYT
Kerajaan mengumumkan dua lokasi perintah kawalan pergerakan (pkpd) di Pulau Pinang dan Sabah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan dua lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pulau Pinang dan Sabah.
PKPD di Penjara dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai akan bermula 22 Oktober sehingga 4 November 2020.
Manakala, PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Sandakan bermula 23 Oktober sehingga 5 November 2020.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di Penjara dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan.
"Ia melibatkan jumlah keseluruhan individu terlibat adalah seramai 3,262 orang merangkumi banduan (2,110 orang), staf penjara dan keluarga yang mendiami kuarters (1,000 orang), staf penjara yang tidak mendiami kuarters (120 orang) dan kakitangan awam (32 orang).
"Tahanan yang akan dibebaskan dalam tempoh PKPD akan diasingkan dan akan dikuarantin di tempat yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang iaitu di Institut Latihan Kecemerlangan Mara (MEC), Daerah Seberang Perai Selatan sehingga tamat tempoh kuarantin," katanya dalam sidang media pada Rabu.
PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni Sandakan melibatkan 870 unit rumah dengan seramai 4,481 penduduk.
"Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya, semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing.
"Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM," ujarnya.
Tambah beliau, KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.
"Bekalan keperluan makanan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.
"Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat. Maklumat lanjut dan SOP berkaitan boleh dirujuk di laman sesawang MKN," kata beliau.
BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)
#PKPD #pulau pinang #Sabah #SOP #KKM #COVID-19 #Penjara Seberang Perai #Taman Harmoni Sandakan #Menteri Kanan Pertahanan #ismail sabri yaakob #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan
;