PKPD di dua kawasan di Sabah dan satu kawasan di Sarawak

Astro Awani
Februari 26, 2021 18:31 MYT
Ismail Sabri menjelaskan KKM mengesahkan bahawa peningkatan mendadak kes baharu positif dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong di Nabawan, Sabah serta Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak bermula 27 Februari hingga 12 Mac nanti.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan melaksanakan PKPD di tiga lokaliti tersebut dibuat setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan peningkatan mendadak kes baharu positif COVID-19.
Selain itu, Ismail Sabri menjelaskan KKM mengesahkan bahawa peningkatan mendadak kes baharu positif dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKP pada Jumaat.
Dalam kenyataan itu juga Ismail Sabri memaklumkan seramai 326 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 320 dikompaun manakala enam (6) lagi direman.
Operasi Benteng pada Khamis telah menangkap 36 orang Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan merampas empat buah bot/kapal serta lima buah kenderaan darat.
"Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 122 buah bot/kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan," katanya lagi.
#COVID-19 #ismail sabri yaakob #PKPD #Sabah #Sarawak #KKM #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #Kampung Sinsingon #Nabawan #Sibu
;