PKPD di Amber Court, PPA Muar tamat esok
Ridauddin Daud
Januari 19, 2021 19:32 MYT
Januari 19, 2021 19:32 MYT
KUALA LUMPUR : Kerajaan mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court, di Bentong, Pahang dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Muar, Johor.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas kes positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti itu semakin terkawal.
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, mesyuarat hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Apartment 9 Amber Court pada esok 20 Januari 2021 seperti yang dijadualkan.
“Atas nasihat KKM, kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar pada 20 Januari 2021 seperti yang dijadualkan.
“Kecuali bagi blok penempatan kes positif di Blok C dan Blok Sekolah yang dilanjutkan bermula 21 Januari sehingga 3 Februari 2021,” katanya pada sidang media khas PKP di sini pada Selasa.
Menurut Ismail Sabri, KKM telah selesai melaksanakan 1,644 ujian saringan di Apartment Amber Court.
“Daripada jumlah itu sebanyak 467 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan berlaku trend penurunan kes yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan,” ujarnya.
Manakala di PPA Muar pula, KKM telah melaksanakan 827 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 184 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
“KKM mengesahkan sebanyak 75 baki kes aktif sedang ditempatkan di Blok C serta seramai 10 orang kakitangan yang positif di Blok Sekolah,” katanya lagi.
#PKPD
#Amber Court
#KKM
#ismail sabri yaakob
#PKP
#Pahang
#Muar
#kerajaan
#menteri
#COVID-19
#kes positif
#ujian saringan