PKPD di 18 taman perumahan di Bandar Muadzam Shah tamat esok
Umavathi Ramayah
Februari 19, 2021 18:44 MYT
Februari 19, 2021 18:44 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 18 taman perumahan di Bandar Muadzam Shah, Rompin, Pahang akan ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu ditamatkan selepas penilaian risiko mendapati jangkitan di lokaliti itu adalah terkawal dengan kes positif COVID-19 yang terakhir dikesan pada 4 Februari lalu.
Sehingga kini katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 886 saringan dan daripada jumlah itu, 36 kes positif COVID-19 direkodkan.
"Pada ketika ini, tiada lagi sampel saringan yang menunggu keputusan.
"Justeru, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di taman-taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin pada 20 Februari 2021 (esok) iaitu lebih awal dari tarikh asal yang dijadualkan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Kawasan PKPD itu membabitkan Taman Desa Bidara, Taman Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Taman Desa Teratai, Taman Desa Melor, Taman Desa Mawar 1, Taman Desa Mawar 2, Taman Desa Jati 1, Taman Desa Jati 2, Taman Desa Anggerik, Taman Desa Kenanga, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Dahlia 1, Taman Desa Dahlia 2, Taman Desa Cempaka, Taman Desa Alamanda, Taman Pinggir Pelangi dan Taman Desa Semarak.
PKPD itu melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 rumah di taman-taman tersebut.
Laporan awal mendapati, sebanyak 13 kes positif direkodkan dalam Kluster Hikmah membabitkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman terbabit.
COVID-19 | PKPD di taman perumahan di bandar Muadzam Shah
#ismail sabri yaakob
#KKM
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#kes positif
#Rompin
#PKPD
#Ditamatkan