PKPD di 14 lokaliti Kuala Lumpur, 8 daerah dan 34 mukim di Selangor mulai 3 Julai

Ridauddin Daud
Julai 1, 2021 18:20 MYT
Sebanyak 14 lokaliti di Kuala Lumpur turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan daerah dalam Selangor yang membabitkan 34 buah mukim.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 14 lokaliti di Kuala Lumpur turut dikenakan PKPD.
Tegasnya, arahan tersebut berkuat kuasa 3 hingga 16 Julai 2021.
“Dengan pelaksanaan PKPD ini, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM.
“Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya.
Tambah beliau, Jawatankuasa Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan terlibat.
“Oleh yang demikian, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS,” ujarnya.
Tegasnya, pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas pukul 8 malam tidak dibenarkan kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.
Katanya lagi, hanya sektor perkhidmatan perlu dibenarkan untuk beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.
“Selain itu, hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.
“Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.
“Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD,” katanya.
Tegasnya, majikan dikehendaki mematuhi perintah tersebut dan membenarkan pekerja bekerja dari rumah.
Katanya lagi, sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.
Berikut adalah lokasi PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur:
Selangor
Daerah Petaling
Mukim: Petaling, Damansara, Sg Buloh, Bukit Raja
Daerah Hulu Langat
Mukim: Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang
Daerah Sepang
Mukim: Dengkil, Labu, Sepang
Daerah Gombak
Mukim: Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang
Daerah Kuala Langat
Mukim: Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu
Daerah Klang
Mukim: Kapar, Klang
Daerah Kuala Selangor
Mukim: Ijok, Bestari Jaya, Jeram
Daerah Hulu Selangor
Mukim: Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali
Kuala Lumpur
#PKPD #Selangor #Kuala Lumpur #KL #kluster #perintah kawalan pergerakan #ismail sabri yaakob #Menteri Kanan Pertahanan #kes tinggi
;