PKPD Desa Rejang: Bantuan makanan fasa kedua disalur Jumaat depan - JKM
Fareez Azman
Jun 20, 2021 23:19 MYT
Jun 20, 2021 23:19 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyalurkan bantuan makanan sekali lagi kepada penduduk Perumahan Awam Desa Rejang di Setapak di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Jumaat depan.
Pengarah JKM Wilayah Persekutuan, Che Samsuzuki Che Noh, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan bantuan fasa kedua termasuk minyak masak, susu dan ayam diharap dapat melegakan keresahan penduduk.
"(Selain itu) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Yayasan Wilayah Persekutuan juga akan salurkan minyak masak, telur, sardin dan beberapa barangan asas lain.
"Fasa kedua bantuan mungkin bermula hari Jumaat atau Sabtu depan... agihan akan dijalankan serentak di 12 blok pangsapuri terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, memasuki hari ketiga PKPD di kawasan berkenaan, penduduk tertekan kerana bekalan makanan terhad disebabkan kedai runcit di kawasan itu tidak beroperasi, malah mereka juga tidak dibenarkan membuat pesanan secara dalam talian.
Tiada pilihan lain, mereka kini hanya berharap kepada bantuan yang disalurkan pihak berkuasa termasuk JKM, namun bantuan yang diterima pada Sabtu amat sedikit dan tidak mencukupi terutama bagi keluarga dengan isi rumah ramai.
PKPD | Penduduk PPR Desa Rejang dilarang pesan makanan
Mengulas mengenai kotak makanan yang diterima penduduk pada Sabtu, Che Samsuzuki menjelaskan, barangan terbabit sebenarnya bantuan iringan yang diberikan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam pada itu jelas Che Samsuzuki, ketika ini pasukan JKM sedang menyiapkan bantuan barangan keperluan asas penduduk di stor yang ditetapkan.
Malah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut tampil bagi menyalurkan sumbangan mereka kepada penduduk.
PKPD Perumahan Rejang bermula Jumaat lalu sehingga 1 Julai depan melibatkan lebih 12 blok pangsapuri dengan anggaran 12,000 penduduk.
Ia susulan 264 kes positif COVID-19 dilaporkan daripada 3,512 saringan dengan kadar positif 7.52 peratus.
#PKPD
#perumahan awam desa rejang
#Desa Rejang
#bantuan makanan
#tidak cukup
#keluarga ramai
#jkm
#Che Samsuzuki Che Noh