PKPD Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas bermula 23 Januari - Ismail Sabri

Fareez Azman
Januari 22, 2021 17:38 MYT
Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor itu bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kakitangan dan komuniti luar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Johor bermula 23 Januari sehingga 5 Februari depan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media pada Jumaat.
"Sehingga 21 Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 360 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 177 kes positif COVID-19 telah direkodkan.
"Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor bermula 23 Januari sehingga 5 Februari 2021," katanya.
Tambah Ismail, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk mengawal pergerakan masuk tahanan dari luar serta mengelakkan penularan jangkitan kepada kakitangan dan komuniti luar.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kanan Pertahanan itu turut memaklumkan seramai 660 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Daripada jumlah itu, 621 individu telah dikompaun manakala 39 lagi direman.
"Seramai 660 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 621 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.
"Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (228), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (121), tiada penjarakkan fizikal (96), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54),premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (63) dan lain-lain (98)," katanya lagi.
#ismail sabri yaakob #KKM #SOP #kerajaan #Kementerian Kesihatan #Imigresen #menteri #perintah kawalan pergerakan #ujian saringan #PKPD #pelitup muka #COVID-19 #Malaysia #positif
;