PKPD: Cubaan lari, hotel tolak 30 tempahan bilik penduduk Taman Nagasari

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 4, 2021 18:43 MYT
Taman Nagasari di Perai Pulau Pinang dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 17 Julai susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan tersebut. - Gambar fail
JURU: Ada segelintir penduduk di kawasan Taman Nagasari di Pulau Pinang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikesan didakwa cuba meninggalkan kawasan berkenaan dan membuat tempahan untuk menginap di hotel berdekatan.
Antara yang menjadi tumpuan ialah Hotel Golden Nasmir di Juru memandangkan hotel tersebut berada tidak jauh dari kawasan berkenaan.
Pengarah Urusan Nasmir Holdings Sdn Bhd, Datuk Khadar Shah Abd Razak berkata pihaknya terkejut apabila menerima panggilan daripada pengurusan sebuah kilang yang mahu menempah 30 bilik hotel bagi menempatkan pekerjanya semalam.
Bagaimanapun mengetahui mereka terlibat dengan kawasan PKPD di Taman Nagasari, pihaknya enggan menerima tempahan kerana ia jelas melanggar undang- undang.
Tegasnya, meskipun rangkaian hotel dan restorannya terjejas antara 70 hingga 90 peratus gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu namun ia bukan tiket untuknya mengaut keuntungan dengan menerima tempahan tersebut.
“Saya telah mengarahkan pengurus saya tidak memberi mana-mana penduduk atau pekerja asing yang hendak menginap di hotel.
“Kami larang seratus peratus, ini yang saya ikut, segala undang-undang MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Khadar Shah selepas melancarkan Nasmir Food Bank di cawangan Auto City, Juru pada Ahad.
Taman Nagasari di Perai Pulau Pinang dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 17 Julai susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan tersebut.
Pada Sabtu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Rozali Mohamud memberitahu terdapat penduduk yang tidak bertanggungjawab keluar dari lokasi berkenaan untuk tinggal di tempat lain.
Pihaknya mendapati terdapat pekerja dan majikan di Taman Nagasari bertindak meninggalkan kediaman sebelum PKPD dikuatkuasakan.
Terdahulu Khadar Shah melancarkan insiatif Food Bank Nasmir yang julung kali diadakan di restorannya di Juru.
Menurutnya inisiatif membuka bank makanan dengan menyediakan pelbagai keperluan asas di hadapan restorannya dibuat agar mereka yang terputus bekalan makanan dapat dibantu segera.
#PKPD #PKP #Taman Nagasari #Seberang Perai #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #Majlis Keselamatan Negara #MKN #jangkitan
;