PKPD Bersasar di rumah pangsa Tongkang Yard tamat tengah malam ini

Isabelle Leong
Oktober 7, 2020 17:43 MYT
Ismail Sabri berkata tiada penambahan kes baharu COVID-19 yang direkodkan untuk tempoh tujuh hari iaitu sejak 28 September. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara Bersasar di rumah pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di Alor Setar, Kedah ditamatkan berkuat kuasa 12.01 tengah malam Khamis (8 Oktober).
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata ia susulan tiada penambahan kes baharu COVID-19 yang direkodkan dalam tempoh tujuh hari iaitu sejak 28 September.
“Sebanyak 249 sampel kedua telah diambil dan bilangan kes positif COVID-19 kekal 12 kes seperti yang direkodkan pada 28 September 2020 yang lalu.
“Oleh kerana tiada penambahan kes baru positif COVID-19 direkodkan dalam tempoh tujuh hari, kerajaan hari ini bersetuju PKPD Bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) ditamatkan berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 8 Oktober,” katanya pada sidang media menerusi laman Facebook Live pada Rabu.
Katanya, kerajaan sebelum ini melanjutkan tempoh PKPD Bersasar di rumah pangsa itu biarpun PKPD secara pentadbiran di Kota Setar telah ditamatkan.
#ismail sabri yaakob #Tongkang Yard #tamat #Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan #PKPD Bersasar #Seberang Perak #Alor Setar #Kedah
;