PKPD: Annuar Musa arah kawat duri di tangga PPR Kg. Baru Air Panas dibuka serta-merta
Astro Awani
Julai 3, 2021 23:13 MYT
Julai 3, 2021 23:13 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengarahkan kawat duri yang dipasang di laluan tangga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini, dibuka serta-merta.
Dalam laman Twitternya malam ini, beliau berkata pemasangan kawat duri sedemikian tidak dibenarkan di pangsapuri walaupun kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
"Pemasangan yang merentasi tangga flet tidak dibenarkan dan melanggari building by laws.. arahan sudah dikeluarkan.
"Tidak dibenarkan pasang kawat duri di tangga rumah pangsa kawasan PKPD. Arahan buka serta-merta telah dikeluarkan.. harap maklum," katanya.
Sebelum ini tular di media sosial gambar yang menunjukkan beberapa anggota tentera memasang kawat berduri di laluan tangga Blok C PPR itu, menyebabkan timbul kebimbangan dalam kalangan netizen tentang keselamatan penduduk jika berlaku kecemasan terutama kebakaran.
Pangsapuri berkenaan adalah antara kawasan yang dikenakan PKPD bagi mengawal penularan COVID-19.
Mengulas perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini, berkata pemasangannya dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk bagi tujuan keluar masuk dari bangunan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Menurutnya, selain itu pihak polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
#PKPD
#kawat duri
#tangga
#kecemasan
#kebakaran
#bomba
#Annuar Musa
#dibuka serta-merta
#Kampung Baru Air Panas