PKPD Amanjaya: Penduduk tidak perlu bimbang, patuhi SOP ditetapkan - Dr Awang Bulgiba
Khairunnisa Kasnoon
Ogos 28, 2020 06:27 MYT
Ogos 28, 2020 06:27 MYT
Penduduk di Aman Jaya tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilaksanakan bermula 28 Ogos hingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Pakar Epidemiologi, Datuk Prof Dr Awang Bulgiba berpandangan pelaksanaan tersebut adalah bagi memastikan individu yang terjangkit dari KlusterTawar dapat disaring dan dikenal pasti.
Ujarnya, meskipun, kadar jangkitan daripada kluster Tawar semakin reda, namun pihak kementerian masih mencari punca penyebaran virus berkenaan.
“Walaupun tiada kes baru, jadi saya rasa ini adalah untuk memastikan bahawa kesemua yang mempunyai virus tersebut dapat disaring dan dikenal pasti dan dirawat.
"Sebab itulah saya rasa langkah tersebut diambil untuk mengenakan tiga zon ini di Aman Jaya,” katanya.
Mengulas mengenai ujian saringan, beliau berkata setiap penduduk perlu memahami objektif saringan yang dijalankan.
Katanya, ujian saringan yang dijalankan mempunyai dua tujuan, pertama, untuk mengetahui berapa ramai individu yang dijangkiti dan yang kedua, ujian untuk mengenal pasti sesiapa baru dijangkiti supaya boleh diasingkan dan diberi rawatan.
“Kalau kita buat ujuan sukarela di tempat lain, ia hanya untuk tempoh pendek. Tidak bernakna kita negatif hari ini, kita tidak boleh dijangkiti esok.
"Untuk tujuan kenal pasti atau mengasingkan orang yang sakit, ia patut dilakukan dengan langkah isolasi atau pengasingan, jadi kalau sengaja untuk buat ujuan itu tidak perlu ada keperluan buat masa ini.
"Pertamanya, kerana tidak banyak kes. Kedua ia tidak menjamin kita dijangkiti atau tidak.
"Buat masa ini, tidak perlu ada ujian secara sukarela untuk uji diri sendiri pastikan kita tidak mempunyai virus tersebut,” katanya lagi.
Dr Awang Bulgiba mengulas kepada Astro AWANI berhubung penguatkuasaan PKPD Secara Pentadbiran akan dilaksanakan di Aman Jaya, Kedah yang berkuat kuasa pada Jumaat.
Ia membabitkan tiga zon di Aman Jaya, iaitu Kenanga, Mawar dan Melur dan melibatkan 22,360 isi rumah merangkumi 265 rumah.