PKPB: Waktu bekerja empat jam sehari di pejabat terlalu singkat - MEF

Isabelle Leong
Oktober 21, 2020 16:07 MYT
MITI membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu berada di pejabat selama empat jam sahaja bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang untuk tiga hari seminggu. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Waktu bekerja di pejabat dari 10 pagi sehingga 2 petang di pejabat di negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilihat terlalu singkat dan memudaratkan pekerja.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata panduan yang diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menjejaskan operasi industri dan syarikat yang terlibat.
“Waktu berkerja yang ditetapkan iaitu empat jam sahaja adalah terlalu terhad.
“Kami terpaksa ke tempat kerja dari rumah dan jaraknya jauh.
“Hanya untuk bekerja empat jam, saya rasa terlalu singkat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memperhalusi perkara tersebut dan mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja bekerja di pejabat pada waktu kerja biasa untuk tiga hari seminggu.
Bagaimanapun, pandangan berbeza disuarakan oleh Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda.
Azih menyambut baik pengumuman MITI seiring dengan amalan norma baharu ketika ini.
Beliau berkata, pengumuman MITI itu tidak menjadi masalah bagi pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bekerja empat jam sehari dengan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu di pejabat.
“Waktu bekerja empat jam mencukupi dengan amalan norma baharu. Ia tidak bermakna selepas empat, pekerja berhenti bekerja.
“Kami menggunakan norma baharu seperti bekerja dalam talian dan kaedah yang berlainan daripada yang sedia ada,” katanya.
Beliau mengakui, ia suatu cabaran buat pekerja PBT untuk mempraktikkan amalan ini, namun tidak menjadi masalah untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.
MITI membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan tertentu berada di pejabat selama empat jam sahaja bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.
Waktu kerja baharu itu merangkumi antaranya, tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi komunikasi maklumat.
#waktu bekerja #MITI #terlalu singkat #Shamsuddin Bardan #Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia #MEF #ANULAE #Azih Muda #PKPB
;