PKPB: Tunggu hingga Jumaat, kata MB Pahang

Noraniza Kamsani
Mei 3, 2020 14:22 MYT
Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, masih kekal. - Gambar fail
Kerajaan Pahang menyokong pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini namun perlu mengkaji dan memperhalusinya agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan COVID-19 di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara ini akan dibincang secara lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Jumaat ini.
Beliau berkata, sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, masih kekal.
"Seperti mana semua maklum, negeri Pahang kini sedang menghadapi kemunculan kluster baharu. Oleh itu, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya.
"Justeru, kerajaan Pahang sedang memperhalusi langkah-langkah pelaksanaan PKPB supaya apabila mana-mana sektor dibuka tidak akan menyebabkan penularan baharu," katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Dalam perutusan sempena Hari Pekerja pada Jumaat, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKPB dengan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial dibenarkan mulai 4 Mei ini.
#Menteri Besar #Pahang #perintah kawalan pergerakan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKP #PKPB #Wan Rosdy Wan Ismail
;