PKPB tidak akan dilaksanakan di Sarawak
Astro Awani
Mei 2, 2020 20:19 MYT
Mei 2, 2020 20:19 MYT
Kerajaan negeri Sarawak mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diputuskan kerajaan Pusat.
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam kenyataan media pada Sabtu.
Menurut beliau, segala keputusan mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak akan kekal seperti sebelum ini.
Uggah memberitahu, setelah diteliti oleh JPBN, beberapa garis panduan berkenaan pembukaan semula sektor ekonomi seperti yang diumumkan kerajaan Pusat adalah tidak kondusif dan tidak sesuai diimplementasikan di negeri tersebut.
Tegasnya, pendirian ini diambil setelah mengkaji beberapa perkara termasuk implikasi terhadap keselamatan orang ramai.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan bahawa pihak JPBN akan memaklumkan sektor mana yang akan dibenarkan beroperasi dari masa ke semasa.
"Dengan itu, aktiviti bagi sektor ekonomi di Sarawak tidak akan dibuka semula pada 4 Mei ini," ujarnya.
Bagaimanapun, kata Uggah, Sarawak menghormati keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu.
Muhyiddin pada Jumaat mengumumkan pembukaan semula sektor ekonomi dengan melaksanakan PKPB bermula Isnin depan. Namun, sebarang aktiviti melibatkan perhimpunan besar adalah tidak dibenarkan.
#AWANI Sarawak
#COVID19
#Datuk Amar Douglas Uggah Embas
#JPBN
#Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Sarawak
#sektor ekonomi