PKPB: Tiada lagi halangan suami, isteri di negeri berlainan untuk kembali bersatu - PM
Firdaus Azil
Mei 10, 2020 15:03 MYT
Mei 10, 2020 15:03 MYT
Kerajaan memahami keresahan pasangan suami isteri yang mana mereka terpaksa tinggal di negeri yang berlainan atas faktor kerja dan sebagainya.
Atas sebab itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk melonggarkan larangan ke atas kes-kes sedemikian bagi membolehkan mereka berjumpa dengan pasangan dan anak masing-masing.
Beliau berkata, suami dan isteri yang ingin memohon kebenaran untuk kes seperti itu boleh menggunakan aplikasi khas Gerak Malaysia atau terus ke Balai Polis yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka.
“Mengenai perjalanan rentas negeri, saya diberitahu ada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan atas urusan kerja. Misalnya, suami bekerja di Perlis, isteri di Johor. Oleh kerana larangan perjalanan rentas sempadan negeri, ada suami yang dah tak berjumpa anak dan isteri selama dua bulan.
“Jadi saya nak mengumumkan kita berikan kelonggaran kepada pasangan suami atau isteri ini untuk melakukan perjalanan rentas sempadan negeri bagi tujuan berjumpa dengan keluarga,” katanya dalam perutusan khas di Putrajaya, hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau memohon agar Kerajaan Sabah dan Sarawak untuk turut memberikan pertimbangan dalam memberi kelonggaran sedemikian.
#coronavirus
#COVID-19
#Gerak Malaysia
#isteri
#keluarga
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#pasangan
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#suami