PKPB: Sabah kekalkan kebenaran rentas daerah ikut zon
Bernama
April 27, 2021 04:53 MYT
April 27, 2021 04:53 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan kebenaran rentas daerah mengikut enam zon ditetapkan walaupun negeri ini bertukar status daripada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada Selasa.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata sehubungan itu penduduk negeri ini hanya dibenarkan merentas daerah dalam zon yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Keputusan mengekalkan prosedur operasi standard sedia ada itu juga bagi mempercepat pemulihan sektor ekonomi selagi mana ia tidak menghalang usaha membanteras penularan wabak COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Majlis Keselamatan Negara hari ini mengisytiharkan Sabah ditukar status kepada PKPB berkuat kuasa Khamis ini hingga 17 Mei depan berikutan peningkatan zon merah di negeri ini.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkenaan COVID-19 berkata, sebanyak 82 kes baharu positif dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 57,829, manakala jumlah pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital seramai 140 orang menjadikan jumlah kumulatif 56,305 orang.
Beliau berkata lapan daerah di Sabah berada dalam Zon Merah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Sandakan, Papar, Putatan dan Kinabatangan.
-- BERNAMA
#rentas daerah
#PKPP
#PKPB
#Masidi Manjun
#kebenaran mengikut zon
#ekonomi
#COVID-19
#Semporna
#Kota Kinabalu
#Sandakan
#Tawau