PKPB Sabah: 122 sekolah harian ditutup bermula esok

Astro Awani
Oktober 5, 2020 21:08 MYT
KPM memberi jaminan akan sentiasa memantau situasi COVID-19 di seluruh negara bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah terpelihara.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 122 sekolah harian di kawasan yang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, Sabah bermula Rabu ini, akan ditutup sehari lebih awal.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan di sini, malam ini, sebanyak 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta akan mula ditutup esok.
"KPM ingin merujuk pengumuman Menteri Kanan Pertahanan pada 5 Oktober (hari ini) dan mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri untuk melaksanakan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang akan berkuatkuasa pada 12.01 tengah malam 7 Oktober 2020.
"Mengambil kira keputusan ini, KPM telah memutuskan sebanyak 122 buah sekolah harian di dalam kawasan tersebut akan ditutup sehari lebih awal, iaitu bermula esok 6 Oktober 2020," jelasnya sambil menambah sekolah di luar kawasan PKPB akan beroperasi seperti biasa.
KPM pada masa sama memberi jaminan akan sentiasa memantau situasi COVID-19 di seluruh negara bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah terpelihara.
BACA: PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bermula Rabu - Ismail Sabri
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelaksanaan PKPB di tiga kawasan tersebut.
Susulan itu, sebarang pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan.
#Kota Kinabalu #Penampang #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #COVID-19 #sekolah
;