PKPB: Restoran operasi tanpa lesen diarah tutup, dikompaun
Astro Awani
Mei 31, 2020 07:39 MYT
Mei 31, 2020 07:39 MYT
Sebuah restoran di Jalan Kampung Paya, Butterworth yang menyajikan minuman keras diarah tutup serta merta selepas beroperasi tanpa lesen.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan jam 6 petang Ahad, pemilik restoran berusia 42 tahun itu turut dikompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Premis ini tidak mempunyai lesen dan tindakan akan diambil oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
"Pemantauan Jabatan Kesihatan mendapati, premis ini tidak mengamalkan penjarakan sosial sebagaimana yang ditetapkan. Kita akan ambil tindakan dan kompaun tuan punya premis.
“Premis ini akan ditutup selama tujuh hari untuk mematuhi SOP ditetapkan. Pelanggan diarah keluar, dan kompaun dikenakan kepada pemilik,” katanya.
Bagi kesalahan itu, pemilik restoran dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan melanggar Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan berjangkit) 2020.
Bagaimanapun, semua pelanggan tidak dikompaun dan diarah meninggalkan premis serta-merta.
Sementara itu, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBSP, Suliyana Abu Hassan berkata sebanyak tiga kompaun dikeluarkan pihaknya terhadap pemilik kerana beroperasi tanpa lesen, mempamerkan papan iklan tanpa lesen serta meletakkan meja dan kerusi di luar premis.
Berikutan itu, premis diarah tutup selama tujuh hari manakala barangan restoran yang diletakkan di luar premis disita.
#kesihatan
#kompaun
#lesen
#minuman keras
#Noorzainy Mohd Noor
#operasi
#papan iklan
#penjarakan sosial
#PKPB
#polis
#Seberang Perai
#SOP
#Suliyana Abu Hassan