PKPB: Rakyat diminta tidak putus asa, Kementerian Wanita sentiasa membantu - Rina Harun
Fareez Azman
November 12, 2020 14:53 MYT
November 12, 2020 14:53 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat diminta tidak putus harapan dalam mendepani pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di 10 negeri ketika ini.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun, pihaknya sentiasa membantu setiap rakyat yang mengalami masalah emosi dan psikologi menerusi talian Kasih.
"Masalah ini, masalah kita bersama, saya harap rakyat di luar sana jangan putus harapan, jangan putus asa. Percayalah setiap masalah itu ada jalan penyelesaian. Kita kena kuatkan semangat sama-sama mencari mereka berfikiran positif, sistem sokongan ini sangat penting.
"Kita tak boleh halang tekanan itu yang dialami berbeza setiap orang, tetapi kita kena cari langkah pertama. Bukan kita seorang tetapi ramai lagi mengalami tekanan sama, keluarga kena sentiasa berikan semangat kepada mana mana ahli keluarga yang tertekan," katanya.
Dalam pada itu, KPWKM akan membantu golongan wanita, ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik menerusi satu program yang akan dilancarkan Disember ini.
"Keluarga kena sama-sama beri semangat positif, rakan-rakan, ketiga kena usaha saya percaya akan ada juga bagaimana nak membantu sudut ekonomi. Kementerian kita sedang merancang satu program yang akan dilancarkan Disember ini... satu juta wanita wanita mahu berniaga.
"Kita sasarkan perniagaan dalam talian. Walaupun perniagaan terjejas, kita ada statistik (hasil) perniagaan meningkat sampai 100 peratus ketika PKPB... sampai jutaan ringgit waktu ini. Tugas kita sebagai koordinator untuk menentukan mereka ini berjaya.
"Kita nak bangunkan wanita, bukan hanya yang berniaga, tetapi yang hilang pekerjaan, ibu tunggal, dan yang bercerai. Ini golongan sasar. Kita sasar 1 juta (individu) dalam program ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Bencana Daerah Sepang PKPD Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi pada Khamis. Dalam lawatan itu, beliau turut menyampaikan 200 pek makanan kepada petugas barisan hadapan serta pihak pengamal media.
#COVID-19
#PKPB
#KPWKM
#Rina Harun
#wanita
#pekerjaan
#perniagaan
#sistem sokongan
#rakyat
#pandemik