PKPB: Polis tahan empat lelaki main meriam besi di Slim River

Bernama
Mei 14, 2020 13:58 MYT
Sulizmie Affendy berkata, ketika ditahan suspek sedang bermain meriam yang diperbuat daripada besi panjang. Gambar hiasan
Polis menahan empat lelaki yang disyaki bermain meriam besi dan memiliki bahan letupan di sebuah kebun sawit di Besout 4, Slim River dekat sini petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata kesemua suspek berusia dalam lingkungan 21 hingga 32 tahun itu ditahan pada jam 6.30 petang hasil maklumat awam.
Beliau berkata ketika ditahan, mereka sedang bermain meriam yang diperbuat daripada besi panjang.
"Kesemua mereka ditahan bersama sebatang paip besi, karbaid, botol mengandungi diesel, lampu pelita, sebatang buluh dan kayu serta satu pemetik api," menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Sulizmie Affendy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Katanya kempat-empat individu direman tiga hari bermula hari ini.
- BERNAMA
#air #diesel #ditahan #karbaid #meriam besi #meriam buluh #pemetik api #PKPB #Slim River
;