PKPB: Perjalanan rentas negeri bersifat sehala - Ismail Sabri
Fauzi Suhaimi
Mei 8, 2020 14:40 MYT
Mei 8, 2020 14:40 MYT
Semua kelulusan perjalanan rentas negeri yang dibenarkan dalam tempoh empat hari ini hanya melibatkan perjalanan sehala sahaja.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan melibatkan dua hala atau lebih tidak dibenarkan meskipun dalam tempoh berkenaan.
"Perjalanan rentas negeri yang dibenarkan ini hanya melibatkan satu hala sahaja.
"Sebagai contoh, kalau sebelum ini tinggal di Kuala Lumpur dan terperangkap di Pahang, hanya perjalanan dari Pahang ke Kuala Lumpur sahaja dibenarkan," katanya dalam sidang media harian pada Jumaat.
Bemula semalam, kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dilakukan dalam tempoh empat hari melibatkan empat bergerakan secara berjadual.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuka 98 sekatan jalan raya untuk memantau pergerakan rentas negeri.
"Laporan PDRM menunjukan pergerakan rentas negeri semalam berjalan secara lancar dan keadaan di kawasan rehat dan rawat(R&R) adalah terkawal dan kadar pematuhan orang ramai kepada arahan PDRM semasa perjalanan rentas negeri adalah memuaskan.
"Selepas 10 Mei 2020, pergerakan rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan seperti perubatan atau kematian ahli keluarga terdekat," jelas beliau.
Sementara itu, beliau berkata, pergerakan rentas negeri membabitkan perjalanan tempat kerja bagaimanapun masih dibenarkan.
#ismail sabri yaakob
#keluarga
#kerajaan
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Media
#menteri
#Pahang
#PDRM
#perubatan
#polis
#Polis Diraja Malaysia
#rentas negeri