PKPB: Penutupan institusi pendidikan di Seremban dilanjut hingga 18 November

Isabelle Leong
November 3, 2020 00:08 MYT
Sebelum ini, semua institusi pendidikan di Seremban yang juga zon merah COVID-19 diarah ditutup mulai 25 Oktober. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua institusi pendidikan yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di daerah Seremban akan terus ditutup sehingga 18 November ini.
KPM dalam satu kenyataan pada malam Selasa berkata, keputusan tersebut selaras dengan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Seremban pada 5 hingga 18 November ini.
KPM berkata penutupan itu merangkumi tadika, sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta.
Justeru itu, kata KPM, pentadbir sekolah serta institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar terus melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal www.moe.gov.my.
Sebelum ini, semua institusi pendidikan di Seremban yang juga zon merah COVID-19 diarah ditutup mulai 25 Oktober.
#Seremban #Negeri Sembilan #pendidikan #Kementerian Pendidikan #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #institusi pendidikan
;